Mati itu pasti! Tak lambat dan tak cepat walau sesaat pun. Setiap kita yang hidup ni sebelum lahir lagi dah ditetapkan tarikh, waktu dan ketika bila ajal masing-masing akan sampai. Cuma cara bagaimana kita mengakhiri hayat yang ada bergantung kepada kebiasaan hidup kita. Apa pun yang terjadi hanyalah penyebab saja. Berdoa lah selalu agar nyawa kita ditarik dalam keadaan khusnul khotimah.

Hari ni hari Khamis. Minggu lepas pada hari yang sama, satu-satunya Atok saya yang masih ada akhirnya meninggal dunia. Setiap kali balik kampung, selalunya nampak Atok dulu dekat depan pintu. Sebab dia suka melepak dekat situ. Masih terbayang-bayang wajah dan gerak-geri Atok. Terngiang-ngiang di telinga suara Atok. Tapi sekarang bila balik ke rumah Atok, keadaan dah tak sama lah macam dulu.

 

Semoga arwah Atok ditempatkan dikalangan orang-orang beriman. Amin.
Semoga rohnya dicucuri rahmat. Amin.

Atok saya pergi lepas 12 hari bertahan menahan sakit di Hospital Kajang. Saya ingat lagi hari Sabtu malam, lepas solat Isya saudara-mara di kampung bagitau kata Atok accident. Dia naik motor on the way nak balik ke rumah lepas Isya di masjid. Tapi ada budak muda bawa motor RXZ daripada arah depan rempuh Atok. Budak tu bawa laju dan makan jalan. Padahal jarak masjid dengan rumah dekat je. Atok pun bawa slow je.

Mama, ayah, pakcik, makcik, cousins dan saudara-mara lain di kampung semua terus gerak ke hospital malam tu. Bermula lah episode Mama dan adik-beradik dia bergilir-gilir jaga Atok di hospital. Uwan pun of course ikut sama. Saya anak-beranak pun pergi juga tapi takdelah tiap-tiap hari. Sempatlah beberapa kali bacakan doa sebelah Atok. Mula-mula Atok duduk di Wad Lelaki biasa. Tapi bila keadaan dia tak stabil, dia dipindahkan ke ICU.

Masa duduk di wad biasa tu Atok ada lah terjaga-jaga dan buka mata. Dia tak boleh cakap pun sebab dalam mulut pun luka. Doktor pun bagi ubat tahan sakit dan ubat tidur supaya dia boleh rehat. Tapi sejak masuk ICU dan lepas pembedahan sementara memang Atok ditidurkan. Lagipun tak boleh masuk setiap masa. Jadi Mama kata masa kat wad biasa tu lah last nampak Atok sedar. Masa di ICU nampak dia tidur je setiap masa.

Atok sebenarnya cedera parah di paha dan kaki kanan ke bawah. Memang kalau tengok keadaan dia, speechless. Disebabkan faktor usia juga dia dah tua sangat. Dan keadaan kesihatan sedia ada sebelum tu pun kurang baik, jadi sangat tough untuk badan Atok bertahan. Memang kami semua daripada awal mendoakan agar Allah permudahkan semuanya untuk Atok dan berikan Atok yang terbaik. Kami minta yang baik-baik je. Biarlah Allah tentukan.

Tapi Allah tetapkan dah, pergi tu lebih baik untuk Atok. Alhamdulillah Atok pergi pada hari yang baik. Perjalanan dia dijemput Ilahi pun cantik. Imam masjid kat kampung bagitau sebenarnya elok-elok sebelum balik tu Atok cakap kat dia yang Atok nak korban sekor lembu raya haji nanti. Tengok-tengok lepas tu tak jumpa dah. Dia pergi dalam keadaan anak-anak isteri ada disekeliling. Masa dia sedar dia sempat berzikir dan sebut nama Allah.

Masa perjalanan jenazah daripada hospital ke kampung, jenazah sampai ngam-ngam masa bilal tengah azan masuk waktu solat Zohor. Jadi jemaah yang solatkan jenazah Alhamdulillah ramai sebab orang belum balik. Budak-budak tahfiz di kampung pun daripada pagi memang dah stand by di masjid tolong bacakan Yasin. Masa pengkebumian, cuaca cerah berangin. Sekejap dan pantas je kerja mengebumikan jenazah.

Alhamdulillah kalau ingat-ingat balik memang mudah lah, lancar dan straight forward je pemergian Atok. Cuma of course lah part kesakitan yang amat sangat tu buat kita rasa sedih dan kesian. Sakit tu penghapus dosa. Semoga Allah ampunkan dosa-dosa kecil Atok dan tambahkan pahala Atok berganda-ganda sebab sabar dan tabah sepanjang sakit. Takde sikit pun Atok merintih. Memang dia redha sungguh-sungguh.

Atok saya bukanlah manusia sempurna. Tapi dia seorang yang sangat sabar, rajin dan gigih. Dia bapa yang sangat penyayang terhadap anak-anak. Atok yang sangat lemah-lembut terhadap cucu-cucu dan cicit-cicit. Guru yang sangat komited terhadap anak-anak murid. Dan juga sangat disenangi orang-orang yang mengenali dia. Dia ramah dan merendah diri orangnya.

Saya cucu sulung. Dulu masa kecik-kecik masa umur baru beberapa bulan, mak saya hantar saya ke kampung sebab takde orang nak mengasuh. Atok dan Uwan yang jaga. Tangan Atok dan Uwan tu lah yang usap saya dengan penuh kasih-sayang. Yang sapukan kapur bila ada bintat-bintat nyamuk gigit di badan. Yang bawa jalan-jalan luar rumah tengok ayam kat laman dan ikan di lombong. Bawa naik motor. Bawa pergi kebun. Best sangat!

Masa belajar kat universiti dulu saya ada sesekali balik cuti kat rumah Atok. Masa nak balik KL Atok yang temankan naik bas hantar sampai Kajang. Hantar sampai komuter. Masa saya nak kahwin Atok saya yang susah payah seret saya pergi rumah Tok Imam dengan saksi-saksi. Sebab mak ayah saya ada di Sabah masa tu tapi dokumen-dokumen tu nak kena setelkan cepat. Memang banyak lah jasa Atok kat kami cucu cicit ni.

Atok suka bersembang. Bila anak cucuk balik dia suka bercerita kisah dulu-dulu. Cerita pasal masa kecik-kecik. Cerita pasal zaman Jepun. Lepas tu mula lah dia nyanyi lagu Jepun. Sekarang dah tak dengar lah semua tu. Betul lah orang kata. Manusia ni selalu lupa nak hargai sesuatu. Bila dah tak ada baru terfikir dan tersedar. Saya sayang Atok saya. Tapi sekarang baru terasa macam saya tak cukup menzahirkan rasa kasih dan sayang tu masa dia ada.

Sepanjang dia masuk hospital ramai orang ziarah dia tak henti-henti. Sampailah ke hari ni di rumah pun masih ada yang berziarah. Atok saya bekas cikgu. Orang lama di Semenyih dan di kampung. Memang ramai orang kenal. Ramai yang cakap elok cara perginya. Sesekali rasa tak sangka Atok dah takde. Tapi syukur Allah beri peluang untuk kami bersedia. Sempat jumpa dan jaga dia masa sisa hayat dia masih ada.

Semoga kebaikan yang Atok saya buat sepanjang dia hidup dan ilmu-ilmu yang dia curahkan kepada anak didik jadi saham pahala dia yang berterusan. Semoga Allah ampunkan dosa-dosa dia. Lapangkan dan terangkan kuburnya. Dijauhkan dia dia daripada azab kubur. Ditempatkan dia dia dikalangan orang-orang yang beriman. Dan semoga Allah rahmati rohnya dan limpahkan kasih-sayang dan kelembutan kepada dia di alam sana. Amin.

 

Al-Fatihah.

 

~ Ini entry tribute khas untuk arwah Atok.

Mati Itu Pasti, Tak Lambat Dan Tak Cepat Walau Sesaat
Tagged on:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge