Ramai orang selalu kata, “Buat apa lah nak kumpul harta banyak-banyak? Macam lah boleh bawa masuk kubur!.” Sejujurnya kalau dulu saya pun pernah berfikiran macam tu. Tapi sikit-sikit pemikiran saya lebih terbuka lepas bergaul dengan orang yang kaya jiwa dan kaya harta ni. Kebetulan pula baru-baru ni juga saya ada terdengar dalam radio Ikim masa dalam kereta, ada ustaz ni beri ulasan ringkas tapi mantap kenapa umat Islam kena kaya?

Saya terdengar ceramah tu pun dah sekerat jalan. Saya tak lah fokus sangat nak dengar radio masa tu, tapi bila telinga tertangkap pesanan ustaz orang Islam mesti kaya tu, hati rasa tertarik nak dengar. Jangan tanya siapa ustaz tu, dalam segmen apa dan hari apa. Memang tak ingat. Tapi yang pastinya radio Ikim. Saya dengar masa di penghujung bulan Ramadhan.

 

Orang beriman dan bertakwa adalah paling tinggi darjat disisi Allah.
Orang beriman dan bertakwa adalah paling tinggi darjat disisi Allah.

 

Jadi, saya nak kongsikan disini sebagai peringatan untuk saya dan suntikan kepada kawan-kawan supaya kita akan ada matlamat yang lebih fokus dan jelas dalam berusaha mencari rezeki dan mencipta kejayaan. Bukan apa, kadang-kadang bila kita berhempas-pulas tunggang terbalik berkerja tapi malangnya cepat give up, tak cukup sabar, ragu-ragu dengan tindakan sendiri, fikiran berserabut dan hati tak tenang. Puncanya boleh jadi sebab at the first place, kita tak faham pun kenapa kita perlu berusaha pagi petang siang malam.

Ini adalah beberapa isi-isi penting yang ustaz sampaikan dan saya tulis semula dengan olahan ayat sendiri berserta maklumat yang saya dapat daripada sumber lain.

 

Berbalik Kepada Asas

 

Apa yang ustaz sampaikan mungkin panjang. Tapi isi pentingnya, kita rujuk semula 5 perkara dalam rukun Islam. Yang pertama, mengucap 2 kalimah syahadah. Kita mengaku tiada Tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad SAW pesuruh Allah. Dengan itu, kita perlu percaya dan yakin segala apa yang diaturkan didunia ni berlaku atas kekuasaan Allah Yang Maha Berkuasa semata. Begitu juga dengan rezeki. Kun faya kun. Allah nak bagi miskin atau nak bagi kaya, akan terjadi kalau Allah izinkan. Jadi kita fokus buat kerja kita dan selebihnya biar Allah buat kerja Dia.

Rukun Islam yang kedua pula ialah solat 5 waktu diawal waktu. Untuk beribadat terutamanya solat wajib, paling kurang pun kita perlukan pakaian solat yang selesa dan bersih seperti telekung, sejadah, kopiah, kain pelikat, tudung, baju dan lain-lain. Kalau nak bersolat di masjid, kita mungkin perlukan basikal, perlu isi minyak motosikal dan kalau masjid jauh mungkin perlu guna kereta dan sebagainya. Jadi kita perlu kaya.

Rukun Islam yang ketiga, berpuasa di bulan Ramadhan. Bila bulan puasa, kita perlu sahur dan berbuka puasa. Kita perlu makanan dan minuman untuk bersahur dan berbuka. Supaya kita ada tenaga yang mencukupi untuk jalani rutin disiang hari tanpa makan dan minum serta dapat kekalkan kecergasan sepanjang beribadat terutamanya mengerjakan solat terawikh diwaktu malam. Jadi nak tak nak kena kaya untuk diri sendiri, ahli keluarga dan anak-anak cukup makan minum.

Untuk rukun Islam yang keempat, membayar zakat. Zakat penting untuk pembangunan negara dan ummah. Bila semua orang berzakat, barulah kita dapat hidup dalam persekitararan yang mempunyai kemudahan yang lengkap dan selesa. Orang susah pun boleh dibantu. Takdelah yang kaya terus kaya, yang miskin terus miskin. Urusan kehidupan secara umum pun boleh jadi lebih mudah. Jadi kena kaya supaya dapat keluarkan zakat.

Menunaikan haji di Mekah bagi yang mampu. Ramai orang mampu buat haji tapi masih ramai juga yang tak mampu. Sebab belanjanya sangat tinggi. Tapi sebagai orang Islam, majoriti setiap orang ada simpan azam untuk sampai ke Baitullah. Untuk sampai ke sana, lagilah perlunya kita jadi kaya. Sekurang-kurangnya kalau pun tak dapat tunaikan haji, dapat buat umrah dulu pun dah lega sikit dah.

 

Siapa Kata Kekayaan Tak Boleh Bawa Mati?

 

Mesti ramai pernah dengar bila meninggal seseorang itu, akan tinggalkan 3 perkara. Pertamanya doa anak yang soleh. Keduanya ilmu yang bermanfaat. Dan ketiganya sedekah jariah. Jadi, selagi hidup banyakkan lah berinfaq. Melaburlah untuk saham akhirat contohnya sedekah untuk bina masjid, buat wakaf perigi, tanam pokok buah-buahan, wakafkan bangunan, wakafkan tanah kubur, wakafkan kerusi dan pondok untuk orang berehat, taja pengajian orang yang tak berkemampuan dan macam-macam lagi.

Bayangkan lah saham pahala yang dapat dijana selagi ada orang yang memanfaatkan setiap infaq dan sedekah yang dah dihulurkan? Dan manfaatnya diturunkan dan dikembangkan pula kepada generasi seterusnya? Allah ada kata, setiap satu kebaikan akan dibalas 10 hingga 700 kali ganda pahala. MasyaAllah, cubalah bayangkan berapa banyaknya tu? Seronok sangat kan kalau kita mampu memberi tanpa had?

 

Dunia Dalam Genggaman, Akhirat Di Hati

 

Dalam satu rancangan lain yang saya tengok dalam tv, ada seorang ustaz juga anjur perkara yang sama. Kita kena ada azam untuk kaya supaya bila kita tiada, kita takkan tinggalkan pasangan, anak, cucu dan keturunan kita dalam keadaan faqir miskin. Kalau pun kita nak infakkan segala harta yang ada, mesti tetapkan sebahagian kepada waris yang ditinggalkan. Supaya keturunan kita tak perlu meminta-minta. Sebab tu lah dianjurkan buat wasiat.

Kumpul lah kekayaan dan kemewahan selagi hidup di dunia. Namun biarlah kekayaan dan dunia itu diletakkan sekadar dalam genggaman dan bukannya dalam hati. Sebab tujuan hidup matlamatnya adalah untuk akhirat. Tak salah jadi kaya dan tak salah juga jadi miskin. Kaya atau miskin, kita hanya mampu berusaha dan berdoa tapi hanya Allah yang mentakdirkan nasib kita dalam kumpulan mana.

Samada kaya atau miskin, kedua-duanya sama taraf kalau masing-masing bersyukur dan bersabar. Sebab orang yang paling kuat iman dan ketakwaannya adalah yang paling utama disisi Allah S.W.T. Jadi kesimpulannya, dalam apa pun situasi, berusaha lah untuk melakukan yang terbaik dan meningkatkan kualiti diri, selalulah berlapang dada dengan bersangka baik dan berdoa kepada Allah. Kemudian letakkan tawakkal sepenuhnya kepada tali Allah.

 

Jika ia kaya ataupun miskin, maka Allah lebih tahu keadaan (keduanya)- Surah An Nisa’ Ayat 135

 

Kalau kaya, jangan sampai lalai. Dan kalau miskin, jangan sampai berkeluh-kesah. Sekadar ingatan untuk diri saya sendiri yang selalu lupa. Semoga kawan-kawan yang membaca turut dapat manfaat. Wallahualam.

Kenapa Umat Islam Kena Kaya?
Tagged on:             

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge